Friday, 25 November 2011

Padah Maki Polis




MELAKA: Tindakan biadab seorang pekerja kontrak memaki polis dengan kata-kata kesat membawa padah apabila dipenjara tujuh hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Tertuduh, Muhamad Hanafi Bidin, 22, dari Pantai Kundor, Tangga Batu dekat sini, menerima hukuman itu selepas mengaku salah terhadap tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Hazri Hanafi.

Mengikut tuduhan, Muhamad Hanafi didakwa sengaja menghalang tugas penjawat awam, Lans Koperal S Thyagaraj bagi menjalankan tugasnya di stesen Minyak Mobil, Jalan AMJ, di sini, kira-kira jam 1.15 pagi, 19 November 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman dengan alasan anak yatim dan hanya pendapatan RM1,000 sebulan serta dipukul polis ketika ditahan.

Bagaimanapun, pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Saharizan Sahaman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.
Katanya, hukuman berat boleh menjadi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain supaya tidak melakukan perbuatan sama, malah tiada laporan polis dibuat tertuduh mengatakan dia dipukul, sebaliknya ketika ditahan tertuduh dalam keadaan mabuk.

Muhammad Hazri yang mendengar permohonan kedua-dua pihak kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari mulai tarikh tangkapan dan denda RM2,000 kepada tertuduh.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...