Monday 16 January 2012

25 Jin, 1 Orang Minyak Berjaya Ditangkap dalam botol!


GOMBAK – Tiga pakar ilmu Islam bergabung. Pengalaman dan ilmu digunakan sepenuhnya. Biarpun terpaksa berhempas pulas lebih dua jam, misi memerangkap orang minyak berakhir dengan jaya.

Melegakan penduduk kampung, bukan hanya orang minyak yang masuk perangkap, gangguan sampingan oleh jin-jin lain turut tumpas. Kesudahan misi, 25 botol digunakan untuk memerangkap jin-jin terbabit, termasuklah jelmaan jin orang minyak yang menjadi ibu gangguan misteri di kampung tersebut.

Pengamal Perubatan Darul Muhsinin, Ustaz Othman Mohd Salleh ketika ditemui Sinar Harian berkata, dia yakin makhluk dikaitkan dengan kehadiran orang minyak di kampung itu dapat diperangkap.
Menurutnya, lima jin utama yang berada sekitar kawasan kampung itu telah diperangkap dan dimasukkan ke dalam botol.

“Orang minyak itu adalah jel­maan jin, jika pengamalnya menggunakan minyak maka jin atau khadamnya akan muncul dalam bentuk itu dan dengan kuasa ALLAH, saya yakin salah satu daripadanya jelmaaan makhluk yang dikatakan orang minyak itu dapat diperangkap ,” katanya.

Upacara pembersihan dengan doa dan ayat suci al-Quran dilakukan jam 11.30 malam semalam, di sebuah rumah dibantu seorang wanita yang menjadi pengantara.
Program bermula dengan soal jawab dilakukan Ustaz Othman melalui jin yang memasuki tubuh wanita sebelum satu persatu jin diperangkap dan dimasukkan ke dalam botol.

Perjalanan upacara terganggu seketika selepas jin-jin yang hadir terlalu banyak di dalam rumah itu menyebabkan dua lagi ustaz daripada Perubatan Syifa’ Al-Ikhlas dipanggil.

Kehadiran dua ustaz nyata membantu, apabila satu persatu jin yang dikatakan mula memenuhi segenap pelosok rumah berkenaan berjaya diperangkap.
Tepat jam 1.45 pagi upacara tersebut selesai dan terdapat 25 jin berjaya diperangkap dan dimasukkan ke dalam botol.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...