Monday, 16 January 2012

Finalis AJL 26 Serang Johor! Best~


KEPUTUSAN 12 lagu yang akan bertanding pada Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL 26) pada 29 Januari ini yang bakal berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil sudah pun diketahui ramai.
Bagaimanapun, bagi menghangatkan lagi suasana saingan untuk merebut trofi AJL 26, pihak TV3 telah mengadakan satu jelajah yang telah diadakan di Plaza Angsana Johor Bahru pada 8 Januari lalu.

Penerbit dan Pengarah AJL 26, Nurhul Huda Khalid berkata, matlamat utama jelajah berkenaan diadakan adalah untuk mendekatkan lagi para peminat dengan finalis yang akan bertanding.
“Sebenarnya setiap tahun menjelang AJL pihak TV3 akan mengadakan jelajah sebegini sebagai satu langkah promosi. Jadi pada tahun ini sekali lagi kami telah memilih Johor sebagai lokasi jelajah.

“Jika pada tahun lalu kami telah memilih Pasir Gudang, kali ini kami membuat keputusan untuk Plaza Angsana, Johor Bahru sebagai lokasi dan ternyata mendapat sambutan yang cukup hangat," ujarnya.
Mengenai pemilihan lakosi, Nurhul menjelaskan pihaknya telah memilih negeri Johor kerana ia berdasarkan lokasinya yang berhampiran dengan Singapura dan membolehkan peminat dari negara seberang tambak itu sama-sama merasai suasana kemeriahan AJL.

Antara barisan artis yang telah memeriahkan jelajah AJL 26 tersebut seperti Ning Baizura, Shila Amzah, Jaclyn Victor, Alyah, Aizat, Hafiz AF7, Hazama serta kumpulan Ilusi dan Projek Pistol.

Dihoskan oleh Cheryl Samad dan Faizal Ismail, kira-kira 15,000 pengunjung yang datang pada hari jelajah tersebut telah dihiburkan dengan persembahan lagu-lagu yang akan bersaing di pentas final nanti.
“Boleh dikatakan saya sangat berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh barisan artis yang menghiburkan pengunjung. Walaupun sedang sibuk membuat persiapan, tetapi mereka masih lagi sudi untuk meluangkan masa untuk menjayakan acara jelajah ini,” ujarnya.

Menariknya, sehari sebelum berlangsungnya acara jelajah berkenaan, para artis telah dibawa untuk berkunjung ke rumah Pertubuhan Kebajikan Baitul Maghfirah yang terletak di Bandar Baru Uda, Johor.

Selain beramah mesra dengan penghuni rumah tersebut yang terdiri daripada anak-anak yatim dan miskin, artis-artis turut memeriahkan acara Sukaneka yang telah dianjurkan oleh MyTV3.

"Selain bertujuan untuk memberikan hiburan kepada orang ramai, kunjungan ke rumah kebajikan ini juga adalah salah satu langkah untuk memberikan sedikit sumbangan kepada golongan yang memerlukan," jelasnya.
Menurut Nurhul, acara jelajah AJL 26 itu akan turut disiarkan di TV 3 sebanyak dua episod iaitu pada 14 dan 21 Januari selama sejam pada pukul 5 petang dan dihoskan oleh Adzriefaiz Adzlan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...