Wednesday 11 January 2012

Pelajar Lim Kok wing afrika ditemui mati!



RAWANG – Mayat dua lelaki Afrika bangsa Botswana berusia 24 tahun ditemui tertiarap di kawasan kolam mandi Taman Templer dipercayai mati akibat tergelincir jam 6.40 petang kelmarin.
Mangsa dikenali sebagai Mokgetthi dan Olatetse merupakan pelajar Universiti Asia Pasifik dan Lim Kok Wing.

Ketua Umno Cawangan Persiaran Templer, Shamudin Mohd Khalid berkata, beliau dimaklumkan oleh adik iparnya yang kebetulan ke tempat kejadian untuk menyelam sebelum menemui mangsa yang tersangkut di batu tanpa pakaian.

Beliau berkata, ketika di tempat kejadian, didapati mayat antara satu sama lain hanya dipisahkan sejauh 10 meter bersama beg yang mengandungi kad pengenalan diri, topi, pakaian, dompet dan kasut mereka.
“Mangsa kerap datang ke taman rimba ini bersama dua lagi rakan lain sekitar jam 6 petang namun pada hari kejadian, hanya dua daripadanya ditemui.

“Selepas jam 6, kita tidak membenarkan pengunjung naik ke kawasan riadah itu tetapi mangsa mungkin masuk secara senyap untuk mengelak dihalang kami,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Shamudin berkata, kejadian lemas bukan pertama kali berlaku di sana malahan pernah membabitkan kes pelancong sesat, kegiatan maksiat dan samun.

“Insiden ini bukan kali pertama berlaku memandangkan Taman Rimba Templer tidak mempunyai pengawal untuk menjaga keselamatan pengunjung sebaliknya hanya bergantung kepada pemantauan penduduk berhampiran.

“Selepas diambil alih Majlis Perbandaran Selayang, tiada sebarang kadar bayaran dikenakan kepada pengunjung menyebabkan kita tiada pengawal tetap diupah untuk membuat rondaan atau pemantauan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan kejadian dan mengklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat dikeluarkan oleh Hospital Selayang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...