Saturday 31 December 2011

Manchester malu! "Hadiah" Buat Ferguson!



LONDON - Kelab tercorot, Blackburn Rovers memberi 'hadiah' hari jadi paling bermakna buat Alex Ferguson selepas menewaskan pasukan bimbingannya 2-3 di Old Trafford pada aksi Liga Perdana Inggeris semalam.

Kekalahan tersebut menyaksikan United melepaskan peluang terbaik untuk memulakan hari pertama tahun 2012 pada tangga teratas liga, menyebabkan Ferguson menyambut hari jadi ke-70 semalam dengan suasana suram.

Parti hari jadi Ferguson di Old Trafford pada mulanya berlangsung dengan lancar apabila penyokong Red Devils berdiri menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi buat Ferguson, yang sebelum itu mengumumkan dia akan bersara dalam tempoh tiga tahun lagi.

Bagaimanapun, perjalanan United disekat seawal minit ke-15 apabila Blackburn dihadiahkan penalti selepas Dimitar Berbatov menjatuhkan Christopher Samba dalam petak penalti, yang mudah disempurnakan Yakubu Aiyegbeni.

United terus dihukum kelab tangga tercorot liga sebelum perlawanan semalam pada minit ke-49 selepas Michael Carrick gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, manakala Phil Jones pula membentes lemah Yakubu sebelum pemain antarabangsa Nigeria itu mudah menewaskan penjaga gol David De gea.

Ketinggalan dua gol menyedarkan United untuk bangkit semula seminit selepas itu apabila Berbatov mencetak nama sebagai penjaring apabila menanduk masuk bola yang sebelum itu cuba dirembat Rafael di dalam petak penalti.

Berbatov sekali lagi membuktikan dia masih merupakan penyerang berbisa United apabila menjaringkan gol penyamaan 10 minit kemudian hasil hantaran pendek Antonio Valencia dari dalam petak penalti.

Bagaimanapun United terpaksa mengakhiri tahun 2011 dengan penuh kekecewaan selepas pemain muda Blackburn, Grant Hanley menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-80 apabila De Gea gagal menangkap kemas sepakan sudut Morten Gamst Pedersen.

Petanda awal kekalahan United boleh dilihat melalui percaturan pelik susunan pemain apabila meletakkan pemain tengah, Michael Carrick beraksi pada pertahanan tengah bersama Phil Jones manakala pertahanan kanan, Rafael beraksi pada bahagian tengah, bergandingan dengan Park Ji-Sung.

"Ternyata ia merupakan satu kekecewaan, kami tidak menjangkakan kekalahan ini. Kami melepaskan gol yang sangat teruk dan anda tidak boleh melakukannya dalam perlawanan seperti ini," kata Ferguson.

Sementara itu, pengurus Blackburn Steve Kean berkata: "Ia sangat hebat apabila mencatat kemenangan di gelanggang ini, ia akan menjadi penguat semangat buat kami." - AFP

1 comment:

  1. CHELSEA pown kalah ,,,mcm bjanji plak diowg nih...
    haahahahaha

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...