Ramai-Ramai Lepak di Buletin Lepak. Dengar Berita Sambil lepak. Ajak kawan korang lepak sini. Kalau lepak sorang-sorang, memang bukan lepak la namanya tu. Dapatkan Artikel-artikel mengenai isu-isu terkini dan fakta-fakti yang kadang-kadang menyayat hati, membakar hati, membuat sakit hati, dan mengubati hati.
Friday, 9 December 2011
89 orang mati dalam hospital
KOLKATA, India - Sejumlah 89 orang terbunuh dalam kebakaran di sebuah hospital swasta di sini, kata beberapa pegawai semalam.
Mereka memberitahu, kakitangan perubatan bertempiaran lari menyelamatkan diri dan meninggalkan pesakit mereka dalam kebakaran besar itu.
Polis menangkap enam pegawai hospital atas dakwaan cuai hingga menyebabkan kematian pesakit mereka.
Pihak pengurusan hospital berkenaan bagaimanapun menafikan berlaku sebarang pelanggaran langkah keselamatan dalam tragedi tersebut.
"Adalah menakutkan untuk melihat pihak berkuasa hospital tidak melakukan usaha untuk menyelamatkan pesakit yang terperangkap," kata menteri kesihatan awam negeri Bengal Barat Subrata Mukherjee.
"Pegawai-pegawai kanan hospital terbabit bertempiaran lari selepas api mula merebak," tambahnya.
Ketika api sedang marak, petugas-petugas penyelamat yang menggunakan tangga bertindak memecahkan tingkap di tingkat atas Hospital Amri untuk mengeluarkan sejumlah pesakit yang terperangkap.
Pasukan petugas penyelamat membawa pesakit yang diselamatkan dengan menggunakan pengusung dan kerusi roda ke sebuah hospital berdekatan.
Seorang pesakit, Moon Moon Chakraborty yang dirawat kerana patah pergelangan kaki, menelefon suaminya, S. Chakraborty yang berada di rumah untuk memberitahu bahawa hospital itu terbakar.
"Dia meninggal dunia apabila saya tiba di hospital berkenaan," kata suaminya.
Pasukan penyelamat mengeluarkan 73 mayat dari bangunan hospital berkenaan dengan kebanyakan mangsa dipercayai maut kerana sesak nafas akibat terhidu asap tebal.
Seorang pegawai kanan polis di sini Danayati Sen memberitahu, seramai 16 lagi mangsa meninggal dunia akibat kecederaan yang mereka alami.
Seorang saksi memberitahu, beberapa belas kereta bomba tiba di tempat kejadian lebih sejam selepas kebakaran berlaku.
Kebakaran itu tercetus sekitar pukul 3.30 pagi waktu tempatan di tingkat bawah tanah Hospital AMRI dengan asap tebal meliputi bangunan tersebut.
Punca kebakaran masih disiasat pihak berkuasa. - Agensi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment