Sunday 11 December 2011

3 maut gempa bumi di mexico




MEXICO CITY 11 Dis. - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.5 pada skala Richter menggegarkan Mexico semalam menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang maut, mengakibatkan bekalan elektrik terputus dan mencetuskan panik di kalangan orang ramai yang bergegas keluar ke jalan raya.

Bagaimanapun, tiada laporan kerosakan dan kecederaan dibuat di Mexico City, tetapi perkhidmatan kecemasan menyatakan, seorang lelaki berumur 18 tahun terbunuh selepas bumbung sebuah bangunan runtuh di Iguala.

Seorang lagi lelaki berusia 25 tahun terbunuh apabila vannya dihempap batu di lebuh raya Mexico City-Acapulco, menurut jurucakap perkhidmatan kecemasan di negeri Guerrero, barat daya negara ini.

"Saya berada di tingkat lima ketika gempa berlaku dan gegarannya sangat kuat. Anjing saya mula menyalak dan saya bergegas keluar," kata seorang penduduk, Amor Lajud.

Lajud tinggal di sebuah pangsapuri di bandar kejiranan Mexico City, Condesa yang mengalami kerosakan teruk ketika gempa bumi 1985.

Pengunjung di gedung membeli belah popular di Condesa bertempiaran lari ke jalan raya dengan beberapa orang dilaporkan menjerit dan menangis.

Kesesakan lalu lintas turut berlaku selepas gegaran merosakkan lampu-lampu isyarat di bandar itu.

Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), pusat gempa terletak 45 kilometer dari Iguala di Guerrero pada kedalaman 64 kilometer dan gegaran turut dirasa di negeri seperti Michoacan, Puebla dan Hidalgo.

"Kerosakan paling besar berlaku di Iguala kerana ia paling dekat dengan pusat gempa," kata jurucakap perkhidmatan kecemasan Guerrero.

Bekalan elektrik terputus di kebanyakan daerah di ibu negara ini, tetapi Datuk Bandar Mexico City, Marcelo Ebrard menyatakan, perkhidmatan air, pengangkutan bawah tanah dan lapangan terbang beroperasi seperti biasa. - REUTERS

1 comment:

  1. 6,5 belum seberapa dibandingkan gempa tasikmalaya yang mencapai 7,5

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...