Friday 16 December 2011

Krisis nuklear Jepun diatasi?

2011/12/17


Aktivis Greenpeace memegang sepanduk ketika tunjuk perasaan di luar pejabat Perdana Menteri Jepun mengkritik pengumuman kerajaan bahawa loji nuklear Fukushima berjaya mencapai tahap penutupan sejuk di Tokyo semalam.Perdana menteri umum loji Fukushima capai tahap penutupan sejuk

TOKYO: Perdana Menteri Jepun Yoshihiko Noda semalam mengumumkan bahawa loji nuklear Fukushima Dai-ichi yang terjejas teruk akibat gempa bumi dan tsunami Mac lalu, berjaya mencapai tahap 'penutupan sejuk', langkah paling penting bagi membolehkan arahan pemindahan penduduk ditarik balik.

Ia akan disusuli dengan usaha baru untuk menutup sepenuhnya operasi loji terbabit, satu proses yang dijangka mengambil lebih daripada 30 tahun.
Pengumuman Noda dilihat bertujuan mengulangi jaminan kepada rakyat bahawa kerajaan berjaya dalam usaha menangani masalah radiasi di loji terbabit, sembilan bulan selepas gempa bumi menyebabkan tiga reaktor musnah, dalam krisis nuklear paling buruk sejak Chernobyl pada 1986.

Bagaimanapun pakar berkata, loji yang terletak kira-kira 230 kilometer ke timur laut Tokyo itu tetap terdedah kepada masalah, manakala kawasan sekitarnya terus dicemari radiasi.

Loji nuklear Fukushima Daiichi terjejas teruk berikutan gempa bumi dengan kekuatan 9.0, menyebabkan gelombang tsunami melanda Jepun pada 11 Mac lalu.

Syarikat pengendali loji berkenaan, TEPCO berhadapan dengan masalah, apabila sistem pertahanan tsunami terjejas manakala generator kuasa sokongan berhenti berfungsi.
Keadaan ini menyebabkan sejumlah besar pekerja yang digelar sebagai Fukushima 50 mencuba pelbagai penyelesaian termasuk menggunakan air laut untuk menyejukkan rod yang melebur.

Air yang digunakan dalam proses penyejukan itu bagaimanapun menjadi satu masalah besar kepada TEPCO apabila ia terpaksa dialirkan keluar ke lautan Pasifik, mencetuskan masalah kepada nelayan tempatan.

Petani di kawasan itu juga turut terjejas apabila hasil pengeluaran mereka dipulaukan pengguna atau diharamkan kerajaan disebabkan pencemaran radioaktif.

Satu zon pengecualian di sekitar loji juga diwujudkan dengan beratus-ratus penduduk dipindahkan bagi mengelak mereka terdedah dengan tahap radiasi tinggi yang berbahaya.

Zon ini masih lagi tercemar dengan pembersihan masih lagi tertangguh berikutan amaran bahawa sesetengah bandar masih lagi terus ditinggalkan tanpa penghuni sejak berdekad. – AFP

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...